Isu
Globalisasi Pendidikan merupakan satu daripada cabaran yang berlaku dalam
pendidikan masa kini yang perlu sentiasa dikaji. Globalisasi dalam sistem
pendidikan negara telah memberi banyak kesan terhadap pendidikan negara pada
hari ini. Namun tindak balas daripada keterbukaan idea dan kebebasan memilih
jenis dan kriteria pendidikan dalam keperluan dunia pendidikan hari ini telah
memberi impak yang negatif terhadap anak-anak pada masa kini. Oleh itu,
pelbagai pihak perlu mengambil inisiatif dalam menangani permasalahan ini.
Peranan utama adalah peranan institusi kekeluargaan. Ibu bapa adalah orang yang
dekat dengan anak-anak. Ibu bapa tidak boleh terlalu meletakkan tugas
pembelajaran hanya kepada guru semata-mata dan mengabaikan tanggungjawab
sebenarnya dalam mendidik anak-anak. Jangan kerana kerja, ibu bapa tidak ambil
peduli pembelajaran, tidak berkongsi cerita atau berkomunikasi dengan anak-anak
mereka.
Anak-anak
yang kurang mendapat perhatian dari orang tua akan menimbulkan masalah iaitu
anak-anak akan mudah melakukan sesuatu tanpa pengetahuan ibu bapa mereka. Ibu
bapa haruslah memainkan peranan dalam
hal ini. Hubungan dalam kekeluargaan perlulah dieratkan dengan meluangkan masa
dengan anak-anak untuk mendengar masalah mereka dan menjadi sahabat kepada
anak-anak. Malahan , ibu bapa juga ambil tahu dengan siapa anak-anak mereka
bergaul. Ibu bapa perlu berikan nasihat kepada anak-anak sekiranya mendapati kawan-kawan anak mereka
mencurigakan dan boleh membawa masalah di kemudian hari. Pendidikan agama dan
nilai-nilai murni perlu diterapkan sejak kecil lagi untuk menggelakkan anak
terjebak dalam gejala negatif. Ibu bapa juga perlu sentiasa prihatin dengan
perubahan sikap anak-anak contohnya cara berpakaian kanak-kanak, pertuturan,
pergaulan, fizikalnya dan lain-lain. Berikan nasihat kepada anak dengan cara
berhemah dan tidak memarahi anak-anak secara melulu jika anak mereka telah
berubah kearah tidak sihat.
Pendidikan
menghadapi masalah dan cabaran untuk menggarap akhlak anak-anak supaya berada
pada landasan yang betul berdasarkan panduan dan pegangan dalam islam.
Pelaksanaan program yang mempunyai nilai serta norma pendidikan di sekolah perlu dipertingkatkan sama ada dari segi
keperibadian guru, budaya sekolah serta aktiviti-aktiviti kokurikulum perlu
juga diberi penekanan untuk berusaha kearah membentuk moral dan rohani murid
yang baik dan sempurna di pandangan seluruh masyarakat khususnya umat islam. Di
dalam usaha untuk membentuk jati diri murid, seharusnya perkara yang paling
dekat dengan mereka di sekolah perlu diberi perhatian oleh semua pihak iaitu
keperibadian guru. Guru merupakan insan yang paling rapat dengan murid di
sekolah sepatutnya menampilkan perwatakkan yang positif ketika sesi pengajaran
dan pembelajaran di dalam kelas. Perwatakan dan sifat guru yang amanah,
bersopan santun, jujur, penyayang, penyabar, sedia berkorban, sedia memberi
pertolongan dan berdedikasi perlu ditampilkan supaya menjadi ‘Role model’
kepada pelajar di sekolah. Guru juga memainkan peranan penting untuk membawa
watak orang yang taat kepada amalan agama terutama berkaitan solat, puasa,
akhlak, peganggan akidah dan lain-lain yang penting dan menjadi rujukan murid
di sekolah. Melalui ini, anak-anak kita akan berusaha untuk mencontohi sifat
dan perwatakan guru di sekolah serta cuba untuk mengaplikasikan amalan hidup
beragama dalam kehidupan seharian mereka.
Nilai-nilai
agama mempunyai kepentingan dalam membentuk modal insan yang diharapkan. Hal
ini kerana jati diri dan maruah sesuatu bangsa tidak akan berlaku sekiranya
tidak wujud kesepaduan antara elemen-elemen penting yang saling mempengaruhi
antara satu sama lain. Oleh sebab akidah menjadi teras bagi segala tindakan,
maka pegangan agama yang kukuh di kalangan kanak-kanak seharusnya diberikan
tumpuan utama setiap masa oleh para guru. Hal ini boleh dilakukan melalui
penyampaian ilmu sama ada ketika proses pengajaran dan pembelajaran (kurikulum)
atau ketika mengendalikan aktiviti kokurikulum. Semuanya demi menjadi modal
insan berguna di dunia dan di akhirat. Dengan akidah yang kental, murid-murid
akan menjadi modal insan yang kuat dari segi rohani dan mampu menjauhkan diri
daripada perkara-perkara yang tidak berfaedah yang akan merugikan diri sendiri,
keluarga, masyarakat, agama dan negara. Murid-murid yang disemai dengan
nilai-nilai agama yang sempurna akan mampu menolak dan menghalang pelbagai
anasir jahat. Secara berperingkat, keadaan ini akan melahirkan suasana hidup
yang lebih sihat dan sejahtera.
Senjata
bagi sesebuah tamadun dan kemajuan bangsa bertitik tolak kepada mantapnya ilmu
pengetahuan dan kemahiran dengan berpandukan kepada kekentalan pendidikan agama
dan pengamalan ajaran beragama. Oleh itu, modal insan yang akan disemai dengan
sifat-sifat ini melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang mereka lalui di
sekolah akan dapat membentuk mereka menjadi modal insan yang diharapkan.
Langkah menabur nilai-nilai agama yang murni dan baik ini boleh dilakukan
melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Di
samping itu, para guru khususnya guru Pendidikan Islam harus berusaha
menerapkan nilai-nilai agama yang universal dan bersesuaian untuk semua murid
sebagai contoh menghormati ibu bapa, amanah, ikhlas, menepati janji, bersyukur,
tolong-menolong dan sebagainya dalam setiap sesi pengajaran dan pembelajaran
yang dilakukan dan juga melalui aktiviti kerohanian yang boleh diadakan di
sekolah seperti sambutan Maulidur Rasul dan sebagainya. Semua ini adalah untuk
melahirkan modal insan yang mempunyai ciri-ciri mulia, selaras dengan harapan
negara untuk membentuk modal insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi,
rohani dan intelek. Dengan yang demikian, tidak mustahil Malaysia akan meraih
modal insan yang beragama Islam yang akhinrya menjadi mukmin profesional satu
hari nanti. Nilai-nilai agama serta akhlak pekerti yang baik dan mulia adalah
tunjang peribadi yang amat penting untuk setiap individu. Inilah yang
seharusnya disemai oleh para guru dalam kalangan modal insan yang mereka didik
kerana umumnya menyedari bahawa masyarakat akan menjadi lebih selamat dan
tenteram seandainya mereka menghayati dan mengamalkan nilai-nilai agama yang
telah diterapkan.
Sebenarnya, cabaran besar yang perlu
diaplikasikan secara kolektif dalam usaha membentuk jati diri murid adalah dari
segi kaedah atau strategi untuk menerapkan nilai kerohanian melalui tiga bidang
atau fakulti yang memerlukan pelaksanaan secara sekata iaitu pengisian roh,
akal dan jasmani kanak-kanak. Ketiga-tiga pengisian ini bermula daripada
kerohanian seharusnya berlandaskan sumber yang berautoriti dengan merujuk
sumber ketuhanan dan kenabian, akal yang perlu bertunjangkan aspek kognitif
untuk menuju ke arah yang bersesuaian dengan fitrah manusia itu sendiri serta
jasmani yang mengamalkan gaya hidup sihat seperti beriadah, mengisi masa lapang
dengan baik serta menjaga tabiat pemakanan yang perlu diterapkan secara optimum
dan berkesan dengan bantuan dan bimbingan daripada guru.
Islam Menyelesaikan Permasalahan seseorang individu itu. Seseorang
yang menyandarkan dirinya pada prinsip-prinsip al-Quran akan selalu sanggup
menyelesaikan permasalahan hidupnya dan sentiasa bertindak secara bijaksana.
Demikian juga, orang yang hidup dengan prinsip tersebut tak pernah merasakan
tekanan atau beban, walau bagaimana sukar dan
rumit keadaan yang dihadapi. Ketika nilai agama tidak diterapkan dalam
diri dan kehidupan kanak-kanak , maka tidak menampakkan nilai kemanusiaan dalam
diri mereka.Walau sebesar zarah, seluas lautan dan setinggi gunung sekalipun
kesalahan itu tetap tidak akan dapat diselesaikan secara bijaksana oleh masyarakat tak beragama.
Sebagai seorang mukmin seharusnya
tidak mencari pengakuan dari orang lain terutama yang bukan muslim, jangan
hanya mencari gelaran atau pujian semata-mata dan mengharapkan sanjungan
daripada mereka. Umat islam yang berilmu dan berpendidikan baik dan sempurna
dalam akan berfikir positif dalam keputusan yang mereka ambil, menerima
dukungan dan bimbingan, ilham dan hikmah
dari Allah SWT. Hal sedemikian, maka sebagai kaum muslimin harus menghayati dan
mengamalkan pegangan ajaran Islam yang
kita anut dengan sempurna, dan berani dalam menegakkan kebenaran. Kemenangan dari sudut kaca mata Islam
bukanlah dengan adanya suara daripada majoriti yang menjadi penyokong di
kalangan rakyat. Tidak juga dengan memiliki teknologi pembangunan yang pesat
atau ekonomi yang kukuh mahupun kekuasaan yang padu di dalam jentera
pentadbiran negara. Namun pada hakikatnya kejayaan atau kemenangan di dalam
Islam ialah kemenangan aqidah Islamiyyah ke atas sistem jahiliyyah dan sesat.
Ia merupakan proses penukaran sistem jahiliyyah kepada sistem Islam
keseluruhannya dalam melaksanakan syariat Allah SWT. Sehinggalah wujud dakwah
islamiah.
Umat Islam mencapai kegemilangannya
di bawah pimpinan Rasulullah s.a..w. sehingga di zaman khulafa' Rashidin dan
empayar-empayar Islam selepasnya. Umat Islam dahulu menang kerana mereka merupakan terjemahan amali kepada agama suci
ini yang bergerak di atas muka bumi. Apabila umat Islam mula mengenepikan
agamanya dan meninggalkan ajarannya, mereka telah diserbu oleh berbagai umat
lain, mereka telah bertukar menjadi seperti buih di dalam arus. Umat Islam
telah ditinggikan oleh Allah dengan Islam dan tidak akan mencapai ketinggian
selain dari islam.
Penjelasan tentang isu Pendidikan
Islam dan barat telah memperlihatkan bahawa adanya pola pemikiran yang harus
digunakan oleh kanak-kanak kita berdasarkan para ilmuwan mereka sehingga
menghasilkan cirri-ciri yang berbeza pada pandangan masyarakat. Jika
sumber dan metodologi ilmu di Barat bergantung sepenuhnya kepada kaedah
empiris, rasional dan cenderung materialistik serta mengabaikan dan memandang
rendah cara memperoleh ilmu melalui wahyu dan kitab suci, maka metodologi dalam
ilmu pengetahuan Islam sebenar adalah bersumberkan kepada kitab suci al-Quran yang diperoleh dari
wahyu, Sunnah Rasulullah saw, serta ijtihad para ulama. Justeru, ilmu dalam
Pendidikan Islam juga merupakan ilmu yang mampu membangunkan pemikiran dan
keseimbangan manusia dari aspek rohani dan jasmani peribadi seorang muslim dan
akan menambah dan meningkatkan lagi keimanan
dan kecintaan kepada Allah SWT.
No comments:
Post a Comment