Pendidikan
Islam di Malaysia secara formalnya bermula pada tahun 1960-an apabila kerajaan
melaksanakan undang-undang peraturan yang didasarkan kepada Laporan Rahman
Talib. Laporan ini membentuk Akta Pelajaran 1961 yang menyatakan, "Seksyen
36 (1) tercatat bahawa pendidikan agama Islam hendaklah diberikan kepada murid-murid
beragama Islam di setiap sekolah yang murid-murid beragama Islam berjumlah 15
orang atau lebih."
Pelaksanaan
pendidikan agama Islam diuruskan oleh Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian
Pelajaran yang mengendalikan segala kegiatan yang berhubung dengan pendidikan
Islam di sekolah rendah dan menengah. Pengajaran pendidikan Islam di sekolah
adalah manifestasi Perlembagaan Negara Malaysia yang menjadikan agama Islam
sebagai agama rasmi. Kedudukan Islam telah berjaya ditempatkan pada kedudukan
istimewa.
Pendidikan
Islam di institusi pengajian tinggi bermula secara formal pada tahun 1955
setelah Kolej Islam Malaya ditubuhkan di Klang, Selangor. Tahun 1959, Jabatan
Pengajian Islam, Fakulti Sastera, Universiti Malaya ditubuhkan sebagai hasil
kerjasama di antara Kolej Islam Malaya dan Universiti Malaya. Seterusnya Kolej
Islam Malaya digabungkan dengan Universiti Kebangsaan Malaysia yang dikenali
sebagai Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Bahagian
Pendidikan Islam, Universiti Teknologi Malaysia adalah universiti pertama yang
menjadikan pendidikan Islam sebagai keutamaan. Unit Pendidikan Islam ditubuhkan
pada tahun 1972 yang menyelaraskan kuliah pendidikan agama Islam kepada
mahasiswa UTM. Kini hampir semua universiti awam mempunyai Pusat Islam
masing-masing.
Pendidikan
Islam di institusi pengajian tinggi Malaysia diperkukuhkan dengan pengenalan
Kursus Tamadun Islam yang diwajibkan kepada semua mahasiswa dengan tujuan
setiap orang daripada warganegara Malaysia yang mendapat pendidikan tinggi di
universiti akan mengenali Islam dan ajaran-ajarannya sesuai dengan kedudukan
Islam sebagai agama rasmi negara.
Ternyata
pendidikan Islam telah diperkukuhkan dari semasa ke semasa oleh kerajaan. Kurikulum
dari sekolah rendah hinggalah ke institusi pengajian tinggi memberi ruang
kepada pelajar untuk mendapatkan pengetahuan dan diterapkan dengan nilai dan
falsafah pendidikan Islam ini.
Kegagalan
sistem pendidikan Islam kini adalah disebabkan nilai yang diterapkan tidak
dapat membawa pelajar untuk mengenali Allah swt dan mencetuskan perubahan dalam
diri mereka. Walaupun akal fikiran pelajar hari ini lebih baik dan dianggap
maju, tetapi dalam hal pembinaan watak diri yang digelar ulul albab masih jauh
daripada realiti sebenar. Pendidikan Islam yang ada tidak berupaya membentuk
individu yang boleh bertafakur untuk merenung, mengamati, membuat kajian dan
menganalisis peranan Tuhan dalam penciptaan alam dan kehidupan realiti.
Hala
tuju pendidikan Islam harus menjadikan objektif pembentukan ulul albab sebagai
salah satu hasil akhir dalam pencapaian seperti maksud firman Allah swt dalam
surah Ali Imran ayat 191,"(Ulul albab adalah) orang-orang yang mengingati
Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka banyak
berfikir tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata, "Wahai Tuhan kami, Engkau tidak menciptakan
ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada seksa
neraka."
No comments:
Post a Comment